Bayi maut motosikal ditunggang ibu langgar lori tangki

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 13, 2019 20:03 MYT
Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tangki yang diletakkan di bahu jalan menuju ke arah Kuala Lumpur telah dilanggar oleh motosikal di bahagian belakang. - PDRM
Seorang bayi berusia setahun maut apabila motosikal yang dinaiki bersama ibu dan emak saudaranya dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar sebuah lori tangki di Kilometer 67 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur, pada Ahad petang.
Dalam kemalangan kira-kira 3.20 petang, N. Eshwaran meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tapah.
Ibu mangsa yang berumur 22 tahun dan emak saudaranya berumur 17 tahun mengalami luka-luka di kaki dan muka.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharudin Wan Ismail berkata, ketika kejadian, motosikal yang dinaiki ketiga-tiga mereka dalam berjalanan balik ke Bidor dari Tapah.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tangki yang diletakkan di bahu jalan menuju ke arah Kuala Lumpur telah dilanggar oleh motosikal di bahagian belakang,” katanya di sini.
Menurutnya, ekoran kemalangan itu, Eshwaran yang dipegang emak saudaranya mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan.
Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia pada 3.45 petang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#bayi maut #eshwaran #Hospital Tapah #kemalangan #lori tangki
;