Bayi maut, kereta dipandu bapa terbabas di Lebuhraya PLUS
Bernama
Februari 21, 2015 07:30 MYT
Februari 21, 2015 07:30 MYT
Seorang bayi lelaki berusia 20 bulan maut selepas tercampak keluar dari kereta dipandu bapanya yang kemalangan di KM201.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini, Sabtu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata Muhammad Anas Nazhan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepalanya dalam kejadian 5.50 petang itu.
Ibu bayi itu, Norhayati Md Isa, 30, juga cedera parah manakala bapanya, Shamsul Azwan Abu bakar, 29, cedera ringan.
"Dalam kejadian itu, kereta yang dipandu Shamsul Azwan dari arah Melaka ke Kuala Lumpur telah hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum terbabas ke kiri jalan dan terbalik," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Sabtu.
Beliau berkata mayat bayi itu dibawa ke hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala ibunya dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.