Bayi maut didera: Belum ada rekod pengakuan suspek
Sinar Harian
November 11, 2018 19:38 MYT
November 11, 2018 19:38 MYT
Tiada sebarang rekod pengakuan oleh suspek yang ditahan berhubung kes kematian bayi perempuan sembilan bulan dipercayai didera suami pengasuh.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan.
Menurutnya, suspek berusia 36 tahun yang bekerja sebagai penggunting rambut itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
"Kita masih siasat punca dia bertindak demikian sama ada dilakukan di bawah pengaruh dadah atau sebaliknya.
"Pengasuh (isteri suspek) yang ditahan bersama suspek telah dibebaskan dengan dijamin," katanya.
Terdahulu, laporan akhbar menyiarkan seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan meninggal dunia jam 10.30 pagi semalam, selepas dua hari dilaporkan kritikal di Hospital Serdang, di sini.
Pemeriksaan lanjut mendapati ada kesan koyakan pada dubur mangsa.
Hasil bedah siasat Jabatan Patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian disebabkan impak di kepala dipercayai dari objek tumpul, tempurung pecah dan kesan lebam pada bahagian kepala mangsa
Suspek ditahan reman lima hari sehingga Selasa depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
#Ahmad Dzaffir Mohd Yussof
#Hospital Serdang
#Jabatan Patologi
#kesan lebam
#objek tumpul
#penggunting rambut
#Seksyen 302
#tempurung pecah