Bayi masih bertali pusat ditinggal dalam kotak
Adie Sufian Zulkefli
Julai 3, 2019 16:16 MYT
Julai 3, 2019 16:16 MYT
Curiga dengan sebuah kotak yang terletak di bawah sebatang pokok, seorang petani bertindak patah balik untuk memeriksa bungkusan itu.
Sebaik menghampiri kotak itu, Husaini Hassan, 40, terdengar tangisan bayi.
Ketika itu, Husaini baru saja keluar dari rumahnya di Jalan Jelai, Alor Setar untuk ke bengkel yang terletak 100 meter dari tempat penemuan bayi itu sekitar pukul 7.40 pagi.
"Sampai di pokok itu ada satu kotak tetapi saya tak berhenti untuk tengok dan terus (bergerak) ke bengkel. Sebaik tiba di bengkel saya terfikir dalam 20 minit mesti ada benda (sesuatu) dalam kotak itu. Saya patah balik ke pokok itu dan melihat ada bayi dalam kotak itu," kata Husaini.
Sebaik membuka kotak itu, Husaini terkejut melihat seorang bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusat dibungkus dengan kain batik.
Bayi berkenaan, kemudiannya dibawa oleh Husaini menuju ke Sekolah Kebangsaan Darul Hikmah, Jalan Jelai yang terletak tidak jauh dari lokasi penemuan.
Susulan itu, pihak sekolah bertindak menghubungi polis bagi melaporkan kejadian berkenaan.
Turut terkejut isteri Husaini, Salina Ahmad, 41, yang memaklumkan ini merupakan kejadian pertama di kawasan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, sejurus laporan diterima pada pukul 8.20 pagi, sebuah MPV telah di arah ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba, pihaknya mendapati bayi berkenaan sudah diberikan susu dan ditukar lampin oleh kakitangan sekolah.
Bayi itu kemudiannya di hantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk pemeriksaan lanjut dan kini ditempatkan di Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU).