Bayi masih bernyawa ditemui dalam longkang di Tangkak
Shuhada Abdul Kadir
September 8, 2020 11:14 MYT
September 8, 2020 11:14 MYT
Seorang bayi perempuan yang masih bernyawa ditemui di dalam longkang oleh penduduk tempatan di Jalan Kebun, Kampung Solok, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohd Fadhil Minhat berkata, kehadiran bayi yang masih bertali pusat dan dipercayai baru dilahirkan itu disedari orang awam yang melalui jalan berkenaan dan terdengar suara tangisan.
“Pada lebih kurang jam 6.18 petang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak terima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki memaklumkan berjumpa bayi di Jalan Kebun, Kampung Solok Tangkak.
“Menurut lelaki tersebut, semasa berada di rumah dengan jarak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian, dia dimaklumkan oleh anaknya yang baru pulang dari kelas dan terdengar ada bunyi bayi menangis di dalam longkang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, penduduk berkenaan menemukan bayi yang masih bernafas dengan berat 2.6 kilogram itu di dalam plastik bewarna oren sebelum bertindak mengangkatnya dan membalut dengan sehelai kain.
“Selepas kejadian itu, saksi berkenaan terus memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.
"Pegawai perubatan yang hadir telah mengesahkan bayi tersebut sihat dan berada dalam keadaan baik.
“Identiti bayi itu masih disiasat," katanya.
Tambahnya, bayi itu kini ditempatkan di Hospital Tangkak untuk pemerhatian sepenuhnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, yang mana boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 016-522 0525 atau 06-978 1222.
#baru lahir
#bayi
#buang bayi
#Kampung Solok
#longkang
#masih bernyawa
#Mohd Fadhil Minhat
#tangisan
#Tangkak