Bayi lelaki ditemukan di Kondo Rakyat Kuala Ibai

Bernama
Februari 5, 2023 05:00 MYT
Ahmad Fauzi menemui bayi yang dianggarkan berusia antara lima hari dan seminggu itu di bawah kerusi kayu di belakang dapur rumahnya pada 6.05 petang ketika baru pulang dari kerja. - Foto Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Seorang bayi lelaki yang masih hidup dan masih bertali pusat ditemukan di Kondo Rakyat Kuala Ibai dekat sini, petang Ahad.
Bayi yang dianggarkan berusia antara lima hari hingga seminggu itu ditemukan oleh seorang penduduk Ahmad Fauzi Sulaiman, 28, di bawah kerusi kayu di belakang dapur rumahnya pada 6.05 petang ketika baru pulang dari kerja.
Menurut Ahmad Fauzi, beliau terdengar suara tangisan bayi dari arah belakang rumah, bagaimanapun tidak mengendahkannya kerana menyangkakan ia datang dari rumah jiran.
"Selepas mengamatinya lebih lama, saya ke belakang dan terkejut apabila mendapati seorang bayi berada di atas simen di bawah kerusi kayu panjang," katanya ketika ditemui di Kondo Rakyat Kuala Ibai, malam ini.
Ahmad Fauzi berkata ketika ditemukan bayi berkenaan hanya dipakaikan lampin pakai buang dan terdapat sehelai kain pelikat dipercayai digunakan untuk membalut tubuh bayi berkenaan.
"Alhamdulilah bayi tersebut nampaknya sihat dan tiada kecederaan yang ketara," katanya menambah bapa mertuanya bertindak menghubungi pihak polis yang kemudian tiba pada kira-kira 7.30 malam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan bayi itu supaya menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi berkenaan.
-- BERNAMA
#bayi ditemukan #Kondo Rakyat Kuala Ibai #Ahmad Fauzi Sulaiman #Kuala Terengganu
;