Bayi lelaki ditemui dihurung semut dalam kotak di hentian bas

Abd Razak Mohd Ali
Mei 31, 2023 23:43 MYT
Seorang bayi lelaki yang dipercayai dibuang, ditemui dalam sebuah kotak di hentian bas Taman Kota Wira, Kamunting, pagi Rabu. - Gambar hiasan
TAIPING: Seorang bayi lelaki yang dipercayai dibuang, ditemui dalam sebuah kotak di hentian bas Taman Kota Wira, Kamunting, dekat sini, pagi Rabu.
Bayi tersebut yang cukup sifat, ditemui dibaluti tuala dan sedang dihurung semut.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, bayi itu ditemui oleh seorang wanita, kira-kira jam 10 pagi, ketika memberhentikan kereta untuk mengambil barang di dalam bonet keretanya.
Menurutnya, semasa wanita tersebut turun dari keretanya, dia terdengar bunyi bayi menangis di hentian bas berkenaan.
“Wanita tersebut menjumpai seorang bayi lelaki yang dibaluti dengan tuala berwarna cokelat di dalam sebuah kotak dan dihurung semut semasa ditemui,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Katanya, bayi tersebut telah dikejarkan ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Menurutnya, hasil pemeriksaan doktor, mendapati bayi lelaki itu cukup sifat serta matang, dengan berat 2.62 kilogram.
Bagaimanapun, kata Razlam, bayi berkenaan mengalami masalah pernafasan yang laju serta memerlukan ‘intubation’.
Tambahnya, bayi itu juga mempunyai ciri-ciri kekurangan air di dalam badan dan diberi ‘intravenous drip’ (titisan IV) di samping disyaki mengalami jangkitan dan telah diberikan antibiotik.
Katanya, keadaan bayi itu stabil dan masih menerima rawatan di unit rawatan intensif neonatal (NICU).
“Pihak polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek yang membuang bayi lelaki tersebut,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
#buang bayi #bayi dihurung semut #hentian bas Taman Kota Wira #Polis Daerah Taiping
;