Bayi lelaki dibuang dalam tong sampah diberi nama Mohd Ramadan

Astro Awani
Mei 29, 2017 18:13 MYT
Bayi lelaki yang ditemui dibuang di dalam tong sampah bertutup di hadapan sebuah rumah di Taman Temerloh Jaya pagi Ahad akan diberikan nama Mohd Ramadan. -Gambar hiasan
Bayi lelaki yang ditemui dibuang di dalam tong sampah bertutup di hadapan sebuah rumah di Taman Temerloh Jaya pagi Ahad akan diberikan nama Mohd Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata ia sempena mengambil keberkatan bulan yang penuh barakah untuk umat Islam.
"Oleh kerana bayi ini dijumpai pada 2 Ramadan, jadi insyaAllah kita beri nama Mohd Ramadan supaya bayi tersebut dapat keberkatan," kata Shahaniza.
Menurutnya, bayi seberat 2.4 kilogram itu kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.
Katanya lagi, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang turut menerima banyak permohonan untuk menjadikan bayi tersebut sebagai anak angkat, namun ia perlu melalui beberapa prosedur tertentu selain hanya boleh dilakukan jika tiada tuntutan hak penjagaan daripada keluarga bayi berkenaan.
"Permohonan memang banyak tapi mereka perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa hampir setengah jam melawat bayi berkenaan di NICU HOSHAS dengan diiringi Pengarah JKM Pahang Zulkhairi Zainal Abidin.
Bayi berkenaan berada dalam keadaan baik walaupun terdapat sedikit luka sepanjang tiga sentimeter di atas kepala sebelah kanan dan telahpun menerima dua jahitan.
Buat sementara waktu, bayi lelaki ini akan ditempatkan di HOSHAH untuk pemerhatian selama seminggu sebelum diserahkan kepada JKM untuk ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak di mana kerajaan negeri akan membantu segala aspek kebajikan bayi ini dalam tempoh jagaan berkenaan.
Shahaniza turut menasihati remaja dan wanita supaya menjaga diri dan mengelak daripada pergaulan bebas untuk menghindari kejadian hamil luar nikah serta menasihati mana-mana wanita yang melahirkan anak luar nikah supaya menyerahkan bayi mereka ke mana-mana pusat JKM.
"Pihak JKM tidak akan mengambil sebarang tindakan, malah identiti mereka juga akan kami rahsiakan. JKM juga bersedia menjaga mana-mana wanita yang hamil luar nikah sehingga mereka melahirkan anak sekiranya mereka tidak mempunyai tempat untuk dituju," kata Shahaniza.
Dalam kejadian pada 6.20 petang semalam, seorang bayi lelaki ditemui dalam tong sampah di sebuah rumah di Taman Temerloh Jaya dalam keadaan masih bertali pusat dan dibalut dengan kertas surat khabar.
#bayi #dibuang #HOSHAS #Hospital Sultan Haji Ahmad Shah #Shahaniza Shamsuddin #temerloh #Zulkhairi Zainal Abidin
;