Bayi lelaki berbalut tuala ditemui bersama nota di depan pintu pejabat
Dewi Nur Harasha Alias
April 11, 2021 16:53 MYT
April 11, 2021 16:53 MYT
GEORGE TOWN: "Tolong jaga budak ini". Itu kandungan nota yang ditemui di sisi seorang bayi yang ditinggalkan di hadapan pintu pejabat Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang di Jelutong, di sini.
Bayi lelaki yang masih bertali pusat dan berbalut dengan tuala berwarna hijau muda itu ditemui jam 7.40 malam Sabtu oleh seorang lelaki yang datang ke bangunan berkenaan untuk melawat rakannya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata lelaki berusia 43 tahun berkenaan memberitahu bayi itu tidak menangis ketika ditemui.
"Lelaki berkenaan segera membawa bayi itu masuk ke dalam pejabat persatuan dan memakaikan lampin serta pakaian. Bayi itu turut diberikan susu formula sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) menaiki ambulans.
"Pemeriksaan awal mendapati bayi itu mengalami jaundis. Laporan polis kemudian dibuat oleh lelaki terbabit kira-kira jam 9.29 malam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kamera litar tertutup (CCTV) di situ tidak berfungsi pada hari kejadian, namun terdapat satu lagi CCTV berhampiran kawasan itu yang dipercayai boleh membantu siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 019-4735105 atau menerusi WhatsApp rasmi Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut di talian 019-5641822 atau hadir ke balai polis yang berhampiran.
#bayi lelaki
#ditemui
#depan pintu pejabat
#bertali pusat
#baru dilahirkan
#ditinggalkan
#bersama nota
#berbalut tuala
#masih hidup