Bayi lapan bulan maut, taska tidak berdaftar dengan JKM

Shuhada Abdul Kadir
September 7, 2024 18:00 MYT
Taska di Taman Kelemak Utama yang menjadi lokasi seorang bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia disahkan tidak berdaftar dengan JKM. - Foto Sinar Harian
ALOR GAJAH: Taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama, di sini yang menjadi lokasi seorang bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia dipercayai ditekup dengan bantal oleh seorang pengasuh disahkan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, taska berkenaan dalam proses mendapatkan surat sokongan pendaftaran.
Beliau ketika dihubungi berkata, setakat ini, taska tersebut belum berdaftar dengan JKM dan sedang mendapatkan sokongan pendaftaran dari Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi aspek keselamatan.
Tadika tidak daftar Jabatan Kebajikan Masyarakat
Taska itu bagaimanapun sudah mendapat sokongan daripada agensi lain seperti Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Pejabat Kesihatan.
Mengulas lanjut beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan, pihaknya tidak pernah menerima sebarang aduan kes di taska berkenaan yang merekodkan kehadiran 10 orang kanak-kanak termasuk mangsa, bayi yang meninggal dunia semalam.
Tambahnya, pihak JKM akan melakukan tindakan penguatkuasaan LAK (tutup) selaras dengan peruntukan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308).
Terdahulu, seorang pengasuh wanita berusia 34 tahun ditahan dan direman selepas dipercayai menyebabkan kematian seorang bayi berusia lapan bulan tidak sedarkan diri di sebuah taska di Taman Kelemak Utama.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah semalam dilaporkan berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan memaklumkan kematian bayi berkenaan.
Suspek yang berasal dari Endau, Johor itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di taska berkenaan kira-kira 3.30 petang semalam di taska berkenaan.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan bapa bayi berkenaan, Mejar Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, berkata pihak taska menghubungi isterinya memaklumkan anak tunggalnya itu tidak sedarkan diri.
Anaknya yang baru dihantar ke taska berkenaan sejak lima hari lalu didapati berada dalam keadaan terkulai, mulut berdarah dan muka kebiru-biruan.
Menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV), pengasuh yang ditahan berkenaan dilihat membedung, menyumbat botol susu, menutup dengan kain dan menekup muka bayi tersebut dengan bantal.
#bayi maut ditekup #taska tidak berdaftar #Jabatan Kebajikan Masyarakat #Alor Gajah
;