Bayi hidap barah hati perlu bantuan segera
Astro Awani
Januari 29, 2018 06:26 MYT
Januari 29, 2018 06:26 MYT
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.
Itulah ungkapan yang sesuai diberikan kepada anak kecil Nor Hayfa Mohad Azrul yang berusia 12 bulan yang menghidap barah hati.
Anak bongsu kepada pasangan suami isteri Nor Shahida Che Wan dan Mohd Azrul Ahmad ini dikesan mempunyai masalah kesihatan seawal usia empat hari namun penyakitnya itu disahkan selepas dua minggu menerima rawatan di hospital.
Lebih sayu apabila ibunya berkata Nor Hayfa pernah menjalani pembedahan membuang hempedu ketika baru berusia 50 hari demi memanjangkan usianya.
"Baru lahir, hanya Allah yang tahu risaunya. Sebab, doktor kata tiada jaminan, doktor kata, saya kena kuat.
"Agak susah sedikit menjaganya kerana dia tak macam anak yang lain. Makan kena jaga. Tak boleh bercampur orang, kena diasingkan. Kalau pergi kenduri, kena bergilir duduk di rumah," kata Nor Shahida.
Anak kecil ini kini bergantung kepada ubat, susu khas dan vitamin tambahan yang perlu diambil setiap hari bagi memastikan hatinya tidak rosak sepenuhnya.
Nor Hayfa juga perlu diberi penjagaan khusus setiap kali menerima rawatan di hospital.
Keadaan menjadi lebih parah apabila bapanya yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori di Penang Port diberhentikan kerja kerana terlalu kerap mengambil cuti kerana perlu menjaga dua anaknya yang lain.
Manakala ibunya sekadar memperoleh pendapatan dengan mengambil upah menjahit baju.
Kata Nor Shahida, dengan pendapatan yang tidak menentu, mereka perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM750 sebulan untuk membeli susu khas dan lampin serta vitamin tambahan untuk anaknya itu.
Namun kini suaminya membuat kerja sambilan dengan membantu rakannya yang membuka kedai kimpalan selain membantunya menyiapkan tempahan baju.
Pasangan ini pernah menerima bantuan secara "one off" daripada Zakat Pulau Pinang namun jumlah itu masih tidak mencukupi.
Permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga gagal selepas dikatakan tidak layak untuk menerima bantuan dengan alasan penyakit yang dialami Nor Hayfa tidak kronik.
Nor Shahida ditemui di rumahnya di Seberang Jaya selepas menerima kunjungan daripada Naib Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Abdul Aziz Shaik Ahmad.
Menerusi pertemuan itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya yang bersimpati dengan derita yang dialami Nor Hayfa akan membantu keluarga terbabit mendapatkan bantuan yang sewajarnya.