Bayi enam bulan maut kereta dipandu bapa terbabas dalam parit
Bernama
Mei 2, 2020 04:00 MYT
Mei 2, 2020 04:00 MYT
Seorang bayi lelaki berusia enam bulan meninggal dunia selepas kereta dinaiki bersama keluarga terbabas ke dalam parit di KM4 Jalan Bota Kiri-Tanjung Belanja di sini, Sabtu malam.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso berkata dalam kejadian berhampiran Tanah Perkuburan Tanjung Aur kira-kira pukul 8.15 malam itu, Afham Faiq Azrul Amir yang berada dalam kereta jenis Perodua Myvi bersama ibu Siti Noorfazlin Ahmad, 29, dan ayahnya Azrul Amir Ruslan, 29, sedang dalam perjalanan dari Kampung Paloh ke Seri Iskandar untuk pulang ke rumah.
"Apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu ayah mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan masuk ke dalam parit," katanya dalam satu kenyataan, di sini, Sabtu malam.
Menurut Barudin, bayi itu meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat pagi ini, manakala kedua ibu bapanya mengalami luka di seluruh badan.
Barudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
#Afham FaiqAzrul Amir
#Akta Pengangkutan Jalan 1987
#Barudin Wariso
#bayi meninggal dunia
#bedah siasat
#kereta terbabas
#masuk dalam parit
#tiga beranak
#Unit Forensik Hospital Changkat Melintang