Bayi enam bulan maut kemalangan tiga kenderaan

Nur Fazlizai Ali
April 26, 2022 08:40 MYT
Keadaan ketiga-tiga kenderaan yang terlibat dalam kemalangan pada Isnin. - Astro AWANI
SETIU: Seorang bayi lelaki berusia enam bulan maut selepas kereta yang dinaiki bersama ahli keluarga terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan.
Kejadian berlaku di Kilometer 75 jalan Kuala Terengganu ke Kota Bharu berhampiran Kampung Air Sejuk, Setiu kira-kira jam 4 petang pada Isnin.
Nahas itu menyebabkan mangsa, Mohammad Qais Rizqi Shafiee, meninggal dunia manakala ibunya, Nurul Ain Zulkarnain, 29, patah tulang paha kaki kiri.
Manakala bapa bersama dua kakaknya masing-masing berusia lima dan dua tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketika kejadian mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Saga FLX dipandu bapanya dari arah Rantau Panjang, Kelantan menghala ke Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin maklumkan, sejurus tiba di lokasi kejadian sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser dipandu lelaki berusia 49 tahun yang datang dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu dikatakan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Proton Saga FLX.
Katanya, pada masa sama sebuah motosikal jenis Honda Wave ditunggang seorang suri rumah berusia 54 tahun yang datang dari arah sama dengan Toyota Unser tidak sempat mengelak lalu bergesel dengan kereta Proton Saga FLX.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#bayi #Nahas #meninggal dunia #laluan bertentangan
;