Bayi empat bulan maut, sesak nafas ketika di Taska
Astro Awani
Januari 4, 2016 20:35 MYT
Januari 4, 2016 20:35 MYT
Seorang bayi perempuan berusia empat bulan meninggal dunia ketika berada di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Gelugor, Pulau Pinang hari ini.
Nur Ariana Safiyyah Mohd Shauqi dikatakan mengalami sesak nafas ketika berada di Taska berkenaan dan dikejarkan ke klinik berhampiran oleh petugas di situ sekitar jam 8 pagi.
Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia oleh doktor selepas pemeriksaan dilakukan.
Bapa mangsa Mohd Shaouqi Zainondin, 26, berkata, dia dimaklumkan mengenai insiden itu oleh isterinya, Nur Farhana Ros Nazri kira-kira jam 8.30 pagi.
"Isteri saya telefon pukul 8.30 pagi bagi tahu anak saya sesak nafas dan bila sampai ke taska dalam 8.45 pagi, pihak pengurusan kata sudah hantar ke klinik tapi saya dapat tahu anak saya sudah tiada.
"Pengasuh semua bagi tahu sesak nafas dan keputusan bedah siasat menunjukkan ada bengkak paru-paru dan jantung tetapi tiada luka luaran. Cuma sekarang tunggu keputusan lengkap dalam tiga minggu lagi," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pulau Pinang, hari ini.
Tambahnya, ini adalah hari ketiga mereka menghantar Nur Ariana ke taska berkenaan.
Menurutnya, satu laporan polis turut dibuat berhubung kejadian itu.
Jenazah Nur Ariana Saffiyah dijangka disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Kau, Guar Chempedak, Kedah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Polis, Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kematian bayi tersebut.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati bayi berkenaan menghidap radang paru-paru dan mengesahkan tiada unsur jenayah dalam insiden berkenaan.