Bayi diterbang angin dalam kejadian ribut di Tuaran
Bernama
Julai 5, 2015 09:24 MYT
Julai 5, 2015 09:24 MYT
Seorang bayi Nurhasyikin Jainudin, 1 tahun 6 bulan dilapor diterbangkan angin dalam kejadian angin ribut di Kampung Dungang, Tuaran pada Jumaat malam.
Pegawai Daerah Tuaran, Abdul Mohd Ibnu Abdul Kadir Baba berkata kejadian pukul 11.50 malam itu berlaku ketika buaian bayi itu yang diikat pada alang bumbung rumah diterbangkan angin bersama bumbung rumah tersebut.
"Ketika itu bayi tersebut sedang tidur di dalam buaian. Apabila bumbung rumah itu tercabut kerana diterbangkan angin, buaian dan bayi itu turut sama diterbangkan angin," katanya kepada Bernama.
Bayi itu kemudiannya ditemui dekat kawasan sawah padi berhampiran.
Abdul Mohd Ibnu berkata berkata bayi tersebut pada mulanya dirawat di Hospital Tuaran sebelum dipindahkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas kerana dipercayai patah paha.
"Dia berada dalam keadaan stabil," katanya.