Bayi ditemui maut dengan kesan tikam di dada

Astro Awani
Februari 8, 2022 19:05 MYT
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata siasatan awal mendapati insiden itu berlaku ketika ketiadaan anggota keluarga yang lain di rumah suspek. - Astro AWANI
KEMAMAN: Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui mati dengan kesan tikam di bahagian kiri dada di sebuah rumah di daerah Kemaman, Terengganu pada pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 hingga 9 pagi itu bayi tersebut dikatakan ditikam dengan objek tajam oleh seorang remaja perempuan dipercayai ibunya.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata siasatan awal mendapati insiden itu berlaku ketika ketiadaan anggota keluarga yang lain di rumah suspek.
Menurut Hanyan suspek berusia 15 tahun itu telah meminta bantuan rakannya untuk menghubungi petugas kesihatan bagi memaklumkan berkenaan kelahiran bayi tersebut.
Bagaimanapun, sewaktu ketibaan petugas kesihatan mendapati bayi yang cukup sifat itu telah meninggal dunia.
“Siasatan awal kita, bayi ini dilahirkan oleh seorang perempuan di bawah umur, cukup sifat, dan sudah ditemui mati.
“Jadi, siasatan awal kita telah mengesan seorang perempuan berusia 15 tahun dan tindakan awal kita, kita akan buat siasatan awal, mengenal pasti punca kematian.
“Walau bagaimanapun penahanan seorang wanita telah dibuat,” katanya pada Selasa.
Hanyan berkata, sejurus laporan dibuat oleh petugas kesihatan, remaja terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Tambahnya pihak polis telah mengenal pasti seorang lelaki yang dipercayai telah merogol remaja itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Mayat bayi tersebut telah dibawa ke unit forensik Hospital Kemaman untuk tindakan selanjutnya.
Bayi Maut | Ditikam di bahagian kiri dada
#Hanyan Ramlan #bayi #ditikam #kesan tikam #terengganu
;