Bayi ditemui kesejukan dalam mesin basuh
Astro Awani
Oktober 28, 2015 20:05 MYT
Oktober 28, 2015 20:05 MYT
Seorang bayi perempuaan berusia sehari ditemui dalam sebuah mesin basuh milik salah seorang penduduk di Kampung Ulu Dulang Kechil, Yan, Kedah, lewat malam Selasa.
Tambah menyedihkan, bayi malang tersebut ditemui dalam keadaan kesejukan dan menangis tanpa dibalut dengan sebarang pakaian.
Ketika kejadian, Zainol Hamid, 71 yang sedang beristirehat bersama keluarga di bilik berasingan, terdengar suara tangisan bayi dari arah belakang rumahnya.
"Saya baru keluar tandas, tiba-tiba saya dengar bunyi tangisan bayi di belakang rumah.
"Saya cari di bahagian dapur, rupanya bayi tersebut ada dalam mesin basuh tanpa pakaian dengan tali pusat," katanya kepada Astro Awani.
Zainol kemudiannya membuat laporan polis dan percaya bayi berkenaan telah dibawa masuk melalui pintu belakang rumah yang tidak berkunci sebelum melarikan diri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, DSP Muhamad Halim Yatim ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima maklumat tentang kes pada jam 10.44 malam sebelum bergegas ke lokasi.
Sebaik tiba, bayi perempuan itu yang dalam keadaan cukup sifat, disahkan sihat oleh pembantu perubatan Hospital Yan yang juga tiba untuk membuat pemeriksaan.
Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai memasuki rumah penduduk berkenaan dari pintu belakang yang tidak berkunci sebelum meletakkan bayi berkenaan dalam mesin basuh.
Tambahnya, pihak polis kini sedang mengesan suspek dan meminta mana-mana hospital atau klinik swasta supaya segera menyalurkan maklumat sekiranya terdapat individu yang disyaki datang untuk mendapatkan rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.