Bayi dihurung semut dan masih bertali pusat ditemui tepi jalan

Adie Sufian Zulkefli
Disember 24, 2018 19:08 MYT
Bayi lelaki itu dipercayai baru dilahirkan sebelum dibuang di tepi jalan di hujung Kampung Bunga Chepir.
Seorang remaja tidak menyangka rutin harian menghantar ibunya ke kebun berubah hari ini apabila menemui seorang bayi yang dikerumuni semut ketika melalui tepi jalan di hujung Kampung Bunga Chepir, di sini, pagi tadi.
Mohd Nur Huda Abdul Aziz, 18, bersama ibunya kemudiannya mengambil tindakan segera menghubungi jururawat dari klinik berdekatan sebelum melaporkan penemuan itu kepada polis.
Bayi yang masih bertali pusat itu kelihatan dalam kesejukan.
“Saya hantar emak saya pergi kebun di sebelah sini, lepas itu terdengar bunyi suara bayi, tetapi berselimut dengan kain tuala. Saya buka tengok bayi itu masih basah lagi rambut dia ada darah lagi.
“Saya buang semut dekat belakang badan dia sebab takut dia sakit kena gigit dengan semut, tali pusat pun ada. Masa itu rasa kasihan dan rasa sentap (marah) jugalah sebab bayi masih kecil,” kata Mohd Nur Huda ketika mengimbau kembali detik-detik dia bertemu dengan bayi malang itu.
Sementara itu menurut Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superitendan Abdul Razak Osman bayi yang lengkap bertali pusat itu ditemui pada 8 pagi.
Bayi lelaki itu dipercayai baru dilahirkan sebelum dibuang di tepi jalan di hujung Kampung Bunga Chepir.
Katanya bayi itu sempat diselamatkan penduduk kampung daripada menjadi mangsa haiwan liar atau dilanggar kenderaan.
Bayi yang masih hidup itu kemudianya di hantar ke Hospital Sik untuk rawatan lanjut.
Menurut Abdul Razak, laporan pegawai perubatan mengesahkan bayi itu sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
#bayi #buang bayi #Hospital #Kedah #polis #sik
;