Bayi dicampak ke atas bumbung rumah dilaporkan stabil
Astro Awani
Julai 21, 2020 13:18 MYT
Julai 21, 2020 13:18 MYT
Keadaan bayi lelaki yang dipercayai dicampak ke atas bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seri Dermawan, Bercham, di sini pada Sabtu lalu dilaporkan stabil.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Dr Wan Noorashikin Wan Noordin berkata, kes tersebut masih lagi dalam siasatan pihak polis.
"Difahamkan kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan baik dan masih berada di hospital untuk rawatan.
"Buat masa ini, bayi berkenaan akan ditempatkan di bawah jagaan pihak hospital (Jabatan Kesihatan) sebelum dirujuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk menempatkannya apabila disahkan sihat sepenuhnya.
"Selain itu, tahap kesihatan ibu kepada bayi berkenaan turut dipantau termasuk dari segi perasaan psikologi dan emosi melalui unit kaunseling memandangkan dia masih dibawah umur," katanya di sini pada Selasa.
Ahad lalu, bayi lelaki masih bernyawa dan bertali pusat dipercayai baru dilahirkan kritikal selepas ditemukan berlumuran darah disyaki dicampak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan bayi itu pada pukul 12.35 tengahari daripada orang awam.
Ujarnya,bayi itu dicampak seorang remaja perempuan berumur 16 tahun dari tingkap biliknya yang terletak di tingkat dua dengan ketinggian kira-kira sembilan meter.
Dilaporkan bayi berkenaan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Neonatal, Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini.
#bayi
#Exco
#Hospital
#ICU
#Ipoh
#jkm
#Kanak-kanak
#keluarga
#kesihatan
#lelaki
#polis
#remaja
#rumah
#siasatan
#unit rawatan rapi
#wanita