Bayi cukup sifat dipercayai dihumban masih bernyawa, kritikal

Atiqah Ismail
Jun 25, 2018 13:01 MYT
MOHD SABRI berkata, bayi malang itu kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU), Hospital Kajang. - Foto Ihsan pembaca
Seorang bayi cukup sifat dipercayai dihumban dalam kejadian berhampiran Hentian Kajang di sini semalam.
Ketika ditemui, bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu masih bernyawa.
Saksi kejadian yang menemui bayi lelaki malang itu terkejut sebaik sahaja mendengar bunyi dentuman kuat dari arah belakang restorannya dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah sebaik sahaja mendengar dentuman kuat itu, saksi bergegas keluar lalu terkejut apabila mendapati satu bayi dalam keadaan berbogel dijumpai di atas tanah bersebelahan besi-besi pembinaan.
"Susulan kejadian itu, kita berjaya menahan seorang wanita warga asing di pekarangan Hospital Kajang pada pukul 11.30 malam tadi.
"Suspek akan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 1 Julai ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi yang masih hidup," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Mohd Sabri menambah, bayi malang itu kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU), Hospital Kajang.
Kata beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengetahui motif insiden tersebut.
#24 Jun 2018 #5 00 petang #Atiqah Ismail #bayi lelaki baru lahir #Hospital Kajang #Mohd Sabri Abdullah #pemilik restoran #polis kajang #Pusat Hentian Kajang
;