Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio
Bernama
Disember 8, 2019 05:31 MYT
Disember 8, 2019 05:31 MYT
Setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada virus polio, Kementerian Kesihatan (KKM) pada Ahad memaklumkan seorang bayi lelaki berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah disahkan dijangkiti penyakit itu.
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bayi itu mengalami demam diikuti lemah anggota badan dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di hospital sebelum disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) Jumaat lepas (6 Dis).
Menurut beliau, bayi itu masih dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan bantuan pernafasan.
"Hasil ujian pengesahan yang dijalankan oleh World Health Organization (WHO) Polio Regional Laboratory di Australia, virus itu mempunyai perkaitan genetik dengan virus polio yang dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di negara Filipina," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menjelas lanjut, beliau berkata virus yang dilemahkan itu dikumuhkan oleh badan melalui najis dan dalam persekitaran yang tidak sanitari, ia boleh menjangkiti orang lain yang tiada imuniti terhadap polio serta ia terus tersebar dalam komuniti yang liputan imunisasi polio kurang daripada 95 peratus.
"Semakin lama virus itu tersebar dalam komuniti itu, ia mengalami mutasi genetik hingga menjadi virus yang kembali aktif, dikenali sebagai vaccine-derived poliovirus (VDPV) dan boleh menyebabkan poliomyelitis.
"Namun begitu, untuk mereka yang telah divaksinasi dengan vaksin poliomyelitis, mereka akan mendapat perlindungan daripada jangkitan penyakit itu," jelasnya.
Sementara itu, katanya, sehingga 5 Dis lepas, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak yang dijangkiti polio di Sabah itu mendapati 23 daripada 199 orang (11.6 peratus) yang berumur antara dua bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio.
"Ini satu keadaan yang sangat merunsingkan kerana penularan jangkitan cVPDV hanya boleh ditamatkan dengan imunisasi polio,” kata beliau.
Bagi memastikan negara terus bebas dari penyakit polio, beliau berkata KKM melalui semua Pejabat Kesihatan Daerah dan fasiliti kesihatan hendaklah antaranya memastikan pemantauan dan pengesanan AFP di semua fasiliti kesihatan diperkukuhkan.
Selain itu, pemantauan sampel persekitaran di kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti kawasan penempatan warga asing dari negara yang sedang mengalami polio perlu diperluaskan selain memastikan liputan imunisasi polio melebihi 95 peratus di semua lokaliti di Malaysia pada setiap masa.
Bagi negeri Sabah yang paling hampir dengan negara Filipina, liputan imunisasi yang tinggi adalah penting untuk melindungi kanak-kanak daripada jangkitan polio," katanya.
Pada masa sama, menurutnya, KKM perlu meningkatkan aktiviti pemantauan kes cicir imunisasi serta meningkatkan kesedaran dan pendidikan kesihatan mengenai penyakit polio serta kepentingan imunisasi bagi mencegah polio dan menangani pengaruh antivaksin.
Orang ramai khususnya ibu bapa dinasihatkan supaya memastikan anak-anak telah mendapat imunisasi polio yang lengkap di mana-mana fasiliti kesihatan berhampiran selain mengamalkan kebersihan diri dan kebersihan persekitaran yang berterusan," katanya.
Untuk rekod, penyakit polio merupakan penyakit yang wajib dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
-- BERNAMA
#Acute Flaccid Paralysis
#AFP
#bayi
#Kementerian Kesihatan
#KKM
#Noor Hisham Abdullah
#vaccine-derived poliovirus type 1
#VDPV1
#WHO
#World Health Organization