Bayi berusia 5 hari yang diculik dari Hospital Tanah Merah ditemui semula
Muhafandi Muhamad
November 16, 2016 16:51 MYT
November 16, 2016 16:51 MYT
Seorang bayi berusia lima hari yang diculik dari Wad Kanak-Kanak Hospital Tanah Merah pada petang Selasa, berjaya ditemui semula.
Sebaik menerima laporan dan menjalankan siasatan, polis menemui bayi terbabit dalam jagaan sepasang suami isteri di Selising, Pasir Puteh.
Ketika dihubungi, Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kedua-dua suspek yang berusia 20-an ditahan dan bayi tersebut diserahkan kembali kepada keluarganya selepas pengecaman dilakukan oleh ibu bapa dan pihak hospital.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 363, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.
Sementara itu mengimbas kembali detik kehilangan bayinya, Mohd Ihtiysamuddin Mohd Ashri berkata, beliau datang ke hospital untuk melawat isteri dan anaknya pada jam 9 malam tadi namun bayi mereka tiada ditempatnya. .
Dia percaya suspek membawa keluar bayi dari hospital kira-kira jam 7 malam hari yang sama.
“(Setelah sedar kehilangan) Saya pun buat laporan kepada pihak polis, polis hantar skuad, dalam satu jam, dua jam, saya terima panggilan, bayi telah dijumpai. Saya buat pengecaman bayi, betul bayi saya, saya rasa syukur, terima kasih kepada pihak polis kerana cepat bertindak,.
“Anak saya pun selamat, tapi saya kesal dengan pihak pengurusan hospital, dengan keselamatan macam tu, saya kalau boleh tidak mahu ia terjadi kepada orang lain,” kata Mohd Ihtiysamuddin.
Dia tidak menolak kemungkinan untuk menyaman pihak tersebut sekiranya wujud unsur kecuaian sehingga anaknya diculik.