Bayi berusia 40 hari meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 3, 2022 20:03 MYT
Seorang bayi lelaki berusia 40 hari meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas mengalami kesesakan nafas. - Gambar ihsan PDRM
SUNGAI PETANI: Seorang bayi lelaki berusia 40 hari meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas mengalami kesesakan nafas.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian disedari bapa bayi itu selepas melihat anaknya menangis dalam keadaan sukar bernafas di ruang tamu rumahnya di Taman Merbau, pada pukuk 5.50 pagi.
“Bapa bayi itu terus membawanya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan sebaik tiba di hospital, bayi terbabit terus dimasukkan ke wad zon kuning jabatan kecemasan.
“Sewaktu pihak hospital memberi rawatan bayi itu didapati sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Zaidy berkata, hasil siasatan terhadap bapa bayi itu mendapati anaknya tidak mempunyai sebarang rekod berhubung masalah kesihatan sejak lahir.
Malah katanya, doktor yang melakukan pemeriksaan juga mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada badan mangsa.
Katanya, kematian bayi itu didapati tiada sebarang unsur jenayah bagaimanapun polis masih menunggu laporan lengkap hasil bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
#bayi 40 hari #meninggal dunia #dalam perjalanan ke hospital #Sungai Petani
;