Bayi baru lahir ditinggal bawah pokok

Sinar Harian
April 29, 2023 19:40 MYT
Bayi lelaki mempunyai kesan berdarah tanpa tali pusat yang ditinggalkan di atas papan di bawah sebatang pokok di Kampung Peramu Tanjung Lumpur, Kuantan pada Sabtu. - Sinar Harian
KUANTAN: Seorang wanita terkejut apabila jirannya menjumpai bayi lelaki mempunyai kesan berdarah tanpa tali pusat yang ditinggalkan di atas papan di bawah sebatang pokok berhampiran rumahnya di Kampung Peramu Tanjung Lumpur di sini.
Saksi kejadian itu, Norhazilawati Nasron, 31, berkata, kejadian terbabit disedarinya selepas ibu mentua memanggil selepas jirannya yang dikenali Mok Ti telah menjumpai bayi tersebut kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Sabtu.
Menurutnya, bayi terbabit ditemui tanpa sebarang pakaian ataupun alas.
”Mok Ti bila jumpa (bayi) itu terus panggil ibu mentua saya dan saya diberitahu (oleh ibu mertua) mengenai penemuan bayi tersebut.
"Jadi, saya pun keluar rumah dan nampak orang ramai dan Mok Ti sudah angkat, selamatkan dan selimutkan bayi dengan kain batik.
”Kami sendiri tidak sedar bila sebenarnya bayi ini ditinggalkan, sama ada malam tadi atau hari ini. Tapi kalau tengok kesan darah sudah kering pada tangan, tali pusat juga sudah digunting. Saya lihat kerengga hinggap kepala bayi itu dan ada kesan gigitan pada badannya," katanya pada Sabtu.
Norhazilawati memberitahu, ini kali pertama dia melihat kes bayi dibuang di hadapan mata kerana sebelum ini hanya menyaksikan melalui berita dan gambar di akhbar.
"Kita biasa dengar berita dan tengok gambar, tapi kali ini jumpa kes orang buang bayi ada di depan mata. Memang tergamam dan terkejut," luahnya.
Bercerita lanjut, ibu kepada tiga anak itu berkata, tiada sebarang dokumen ditemukan dan penduduk yang melihat kejadian tersebut terus menghubungi pihak polis bagi tindakan lanjut.
"Saya tanya-tanya dan cari juga tapi memang tidak jumpa apa-apa. Selang beberapa minit pihak peronda polis tiba dan bayi tersebut dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut.” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan.
Beliau berkata, calitan darah yang ditemui berhampiran lokasi penemuan bayi itu telah diambil pasukan forensik dari ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pahang bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat.
Jelasnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kilang berkenaan sedang diteliti bagi mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kejadian itu.
"Agak sukar sedikit untuk kita kenal pasti suspek kerana rakaman CCTV kilang berkenaan tidak menghala ke arah lokasi bayi itu ditinggalkan.
"Kita tidak menolak kemungkinan bayi itu dilahirkan di tempat lain sebelum ditinggalkan di situ.
"Siasatan kes ini dilakukan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi yang dilahirkan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. -- Sinar Harian
#bayi bertali pusat #bayi bawah pokok #Kuantan #CCTV kilang
;