Bayi baru lahir berbalut kain batik dibuang

Adie Sufian Zulkefli
Jun 28, 2020 16:22 MYT
Bayi comel yang badanya masih dipenuhi darah dan bertali pusat dibersihkan oleh Nor Hidayah sebelum menyerahkannya pada pihak polis. - Gambar Astro AWANI
Seorang surirumah tergamam mendengar tangisan anak kecil di luar rumahnya di Kampung Sakan, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, awal pagi tadi.
Menurut Nor Hidayah Shafie, 26, sebaik membuka pintu dia ternampak ada benda bergerak dalam kain batik di atas bangku.
Pada mulanya, Nor Hidayah menyangkakan anak kucing dalam balutan kain batik, itu sebaik dibuka dia terkejut melihat seorang bayi ditinggalkan.
Kata Nor Hidayah, apa yang menyentuh perasaannya ialah bayi perempuan itu masih berbalut kain batik dengan mukanya dihurungi semut.
Lebih membuatkan Nor Hidayah terkejut ialah apabila melihat seluruh badan bayi itu dipenuhi darah dan masih bertali pusat.
Dia yang simpati dengan keadaan bayi itu bertindak mencuci darah dan membuang semut yang menghurung muka bayi itu.
"Bayi itu merah nak putih dah tali pusat semua ada... ada semut hurung kat badan muka penuh," katanya ketika ditemubual Astro AWANI.
Sebaik membersihkan bayi itu, Nor Hidayah menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian penemuan itu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi berkenaan kira-kira pukul 7 pagi.
Katanya, anggota polis yang tiba tidak lama kemudian membawa bayi berkenaan ke Hospital Sultanah bahiyah (HSB) untuk menjalani pemeriksaan.
Menurut Mohd Redzuan, bayi perempuan itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (NICU) HSB untuk mendapatkan rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
#Alor Setar #bayi baru lahir #dibuang depan rumah #dihurung semut #Jalan Datuk Kumbar #Kampung Sakan #Kedah
;