Bayi baru dilahirkan ditemui dalam beg atas peti surat
Dewi Nur Harasha Alias
November 1, 2020 20:34 MYT
November 1, 2020 20:34 MYT
GEORGE TOWN: Seorang bayi perempuan yang masih hidup dipercayai baru dilahirkan ditemui diatas peti surat di flat blok 47 Tingkat, Paya Terubong 4,Pulau Pinang pada Ahad.
Bayi seberat 3.2kg itu dibalut dengan tuala putih dan disumbat di dalam beg galas.
Bagaimanapun, bayi tersebut berjaya diselamatkan seorang penduduk kira kira jam 12.40 tengahari.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata, pihak polis menerima panggilan daripada lelaki yang baru pulang dari kerja yang memberitahu tentang penemuan bayi itu.
"Pemeriksaan mendapati bayi berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan namun tali pusat bayi malang itu telah dipotong.
"Mangsa kemudian telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut. Tiada dokumen lain dijumpai dalam beg tersebut," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan pihak yang membuang bayi itu dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut agar menyalurkannya kepada pihak polis.
"Setakat ini tiada saksi melihat kejadian itu dan kawasan perumahan tersebut juga tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), namun kami masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan ibu yang melahirkan bayi berkenaan dan pihak yang membuang mangsa di situ," katanya.
#bayi ditemui
#bayi perempuan
#Soffian Santong
#buang bayi
#bayi ditemui dalam beg
#peti surat
#paya terubong
#Polis Daerah Timur Laut
#Hospital Pulau Pinang