Bayi alami pendarahan otak disyaki didera ibu, teman lelaki

Sinar Harian
Julai 25, 2024 09:14 MYT
Polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan Hospital Pontian berhubung bayi berkenaan pada jam 9.15 pagi, Rabu. - Gambar hiasan
PONTIAN: Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan terpaksa ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) selepas dipercayai menjadi mangsa penderaan ibu dan teman lelakinya.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan Hospital Pontian berhubung bayi berkenaan pada jam 9.15 pagi, Rabu.
Menurutnya, sebelum dibawa ke Hospital Pontian, bayi berkenaan telah dibawa ke sebuah klinik swasta di bandar Pontian.
"Ketika dibawa dari klinik swasta ke hospital, bayi tersebut tidak sedarkan diri.
“Bayi tersebut kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan pegawai perubatan pakar klinikal Jabatan Pediatrik mendapati punca bayi tersebut tidak sedarkan diri kerana mengalami pendarahan otak.
“Serta kekurangan oksigen dan terdapat kecederaan di dahi dan lebam di bahagian mata disyaki ada unsur penderaan,” katanya dalam satu kenyatan pada Khamis.
Menurut Mohammad Shofee, bayi tersebut kini ditidurkan kerana masalah pernafasan.
“Susulan itu, ibu bayi yang berusia 26 tahun telah ditahan di HSA Johor Bahru, manakala teman lelaki berumur 24 tahun menyerah diri Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Pontian pada Rabu
"Kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap dan telah ditahan reman selama tujuh hari mulai Khamis bagi siasatan lanjut,” jelasnya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (A ) Akta Kanak-Kanak 200.
"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya," katanya. - Sinar Harian
#kes dera bayi #pendarahan otak #ibu kandung #teman lelaki