Bayi 9 bulan maut dipercayai didera pengasuh
Aida Aziz
Januari 28, 2019 22:04 MYT
Januari 28, 2019 22:04 MYT
Seorang bayi lelaki berusia 9 bulan meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala dipercayai didera pengasuh.
Muhammad Firas Danial Muhammad Nizar disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.49 petang selepas dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) Ipoh pada Isnin.
Ibu kepada bayi tersebut, Nur Aziemah Zahari, 26, ketika ditemui pemberita berkata dia menerima panggilan telefon dari kakaknya kira-kira 10.30 pagi, Jumaat lepas.
Sebaik tiba di rumah pengasuh, beliau mendapati mangsa berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.
Dia dan suami kemudian membawa mangsa ke Hospital Seri Manjung sebelum dipindahkan ke HRPB hari yang sama, berikutan keadaan anak tunggalnya itu yang semakin kritikal.
Dalam pada itu, ibu saudara mangsa Azilina Ismail, 36, melahirkan rasa kesal kerana pengasuh tidak menghantar bayi berkenaan ke hospital selepas mendapati Muhammad Faris berada dalam keadaan lemah.
Susulan itu dua laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Manjung dan Balai Polis Sungai Senam.
Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenaayah Perak SAC Yahya Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.