Bayi 58 hari maut kerana jangkitan paru-paru

Sinar Harian
November 2, 2023 12:00 MYT
Seorang bayi perempuan berusia 58 hari maut selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap ketika tidur di sebuah rumah pangsa di Banda Hilir di sini pada awal pagi Rabu. - Gambar hiasan
MELAKA: Polis mengesahkan kematian bayi perempuan berusia 58 hari yang ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya pada Rabu disebabkan jangkitan paru-paru.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan selama lima jam itu mendapati kematian mangsa tidak melibatkan isu penderaan atau pengabaian.
"Laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka mendapati punca kematian bayi berkenaan disebabkan oleh jangkitan pada paru-paru.
"Ujian calitan COVID-19 dibuat ke atas mayat bayi sebelum bedah siasat adalah negatif," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Tambahnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada ibunya untuk urusan pengebumian.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan bayi perempuan itu ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap ketika tidur di sebuah rumah pangsa di Banda Hilir di sini pada awal pagi.
Dalam kejadian 6.30 pagi itu, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik dibawa ke Wad Kecemasan Hospital Melaka oleh ibunya berusia 26 tahun. - Sinar Harian
#bayi #meninggal dunia #jangkitan paru-paru #Christopher Patit
;