Bayi 12 bulan koma dipercayai didera ibu mental

Astro Awani
November 26, 2017 14:44 MYT
Seorang bayi malang mengalami kecederaan pada otak selepas dipercayai didera oleh ibunya di rumah mereka di Paya Lahar Kepah, Kepala Batas. - Astro AWANI
Seorang ibu muda ditahan selepas dipercayai mendera anak lelakinya yang berusia setahun hingga mengakibatkan bayi itu koma di rumah mereka di Paya Lahar Kepah, Kepala Batas, Rabu lalu.
Kejadian itu disedari pihak Hospital Kepala Batas (HKB) yang merawat bayi malang berkenaan dan mengesan pendarahan otak.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata siasatan awal pihaknya mendapati bayi berkenaan mempunyai kesan lebam di badan, dahi serta pipi.
Berikutan itu, polis menahan seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun, yang juga ibu kanak- kanak itu Khamis lalu bagi membantu siasatan.
"Suspek sebelum itu memaklumkan anaknya terjatuh kira-kira jam 4.30 petang, Rabu lalu mengakibatkan dahinya lebam akibat terhantuk di lantai ruang tamu ketika bermain," katanya.
Bapa mangsa kemudiannya membawa kanak-kanak itu ke HKB dan doktor yang melakukan pemeriksaan mengesyaki mangsa didera.
Suspek yang dikatakan mempunyai masalah mental, direman 14 hari hingga 6 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
#Akta Kanak-Kanak #bayi #dera #HKB #Hospital Kepala Batas #ibu sendiri #Kepala Batas #koma #Noorzainy Mohd Noor #Paya Lahar Kepah #polis #Seksyen 31
;