Bayi 11 bulan maut tersedak susu di taska

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 24, 2019 22:34 MYT
Bayi itu disahkan meninggal dunia di klinik. - Gambar fail
Seorang bayi 11 bulan maut dipercayai tersedak susu di sebuah taska di Kedah.
Kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah hari pada Khamis.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Ridzuan Salleh, bayi itu dihantar oleh ibunya ke taska pada sebelah pagi dalam keadaan sihat.
Namun sekitar jam 12 tengahari, pengasuh taska berkenaan menyedari bayi itu tidak sedarkan diri lalu menghantarnya ke Klinik Kesihatan Jalan Putra untuk mendapatkan rawatan.
Setibanya di klinik, mangsa kemudian sedar dan diberi susu sebelum dibawa pulang ke taska.
Bagaimanapun, bayi itu sekali lagi tidak sedarkan diri sebaik tiba di taska.
Pengasuh taska kemudian menghubungi ibu mangsa sebelum membawa semula bayi tersebut ke klinik sama.
Mohd Ridzuan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di klinik berkenaan sebelum mayatnya dihantar ke jabatan forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.
Katanya, bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat tersedak susu.
Setakat ini polis telah mengambil keterangan daripada ibu mangsa serta pengasuh taska terbabit untuk membantu siasatan.
Siasatan juga mendapati taska itu mempunyai lesen sah.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#bayi 11 bulan #bayi maut #bayi tersedak susu #Hospital Sultanah Bahiyah #Klinik Kesihatan Jalan Putra #Polis Daerah Kota Setar #taska
;