Bayi 11 bulan maut tersedak susu di rumah pengasuh
Shuhada Abdul Kadir
Julai 25, 2023 09:00 MYT
Julai 25, 2023 09:00 MYT
ALOR GAJAH: Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan meninggal selepas dipercayai tersedak susu ketika berada di rumah pengasuhnya di Ayer Molek, di sini pagi semalam.
Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali Zaidah, 35, berkata, dia pada awalnya menghantar anaknya ke rumah pengasuh berkenaan kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum dihubungi pengasuh empat jam kemudian memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri.
“Pengasuh ini telah mengasuh anak sulung saya sejak berusia empat bulan lagi dan selepas menghantar seperti biasa pada waktu pagi (Isnin), saya pergi bekerja seperti biasa di Sungai Udang manakala suami pula kerja di Pulau Gadong.
“Lebih kurang pukul 11 pagi saya dapat panggilan daripada pengasuh maklumkan anak saya tidak sedarkan diri dan sudah kebiruan mungkin kerana tersedak susu,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di di Kampung Titian Bintangor, Linggi, di sini.
Ujar Zaidah, apabila menerima maklumat tersebut dia kemudian meminta pengasuh berkenaan membawa anaknya ke Klinik Kesihatan berhampiran sebelum bergegas ke lokasi itu.
Katanya, anaknya kemudian di bawa ke Hospital Melaka sebelum doktor bertugas memaklumkan anak sulungnya itu sudah meninggal dunia.
Bagaimanapun, katanya, pihak hospital masih belum dapat mengesahkan punca kematian.
Sementara itu, bapa mangsa yang enggan dikenali berkata meskipun reda dengan ketentuan ilahi, namun mengakui terkejut dengan insiden itu.
Dalam masa sama, dia menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terperinci.
“Buat masa ini saya tidak mahu ulas apa-apa dan saya serah pada pihak polis, biarlah mereka menyiasat apa sebenarnya yang berlaku.
“Apa pun sebagai bapa saya reda dengan apa yang telah terjadi ini,”katanya.
Jenazah bayi itu dikebumikan di tanah perkuburan kampung berkenaan kira-kira pukul 10.30 malam dengan dihadiri ahli keluarga terdekat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.