Bayi 10 bulan tanggung derita masalah usus

Nur Fazlizai Ali
Ogos 21, 2021 10:02 MYT
Nur Nadia Husna terpaksa menanggung derita tidak dapat membuang air besar melalui dubur selepas sebulan dilahirkan. - Astro AWANI
DUNGUN: Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan terpaksa menanggung derita berikutan masalah usus yang dialaminya sehingga mengganggu sistem pencernaannya.
Nur Nadia Husna Shakur yang tinggal di Kampung Paya Balai Besar, di sini, terpaksa menanggung derita tidak dapat membuang air besar melalui dubur selepas sebulan dilahirkan.
Menurut ibunya, Latifah Harun, pada peringkat awal anaknya itu mengalami masalah kembung perut dan telah dibawa ke Hospital Dungun dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu sebelum doktor mengesahkan saluran ususnya bermasalah.
Bagaimanapun sejak tiga minggu lalu, penyakit dihadapi anaknya itu berulang kembali dan Nur Nadia terpaksa menjalani pembedahan pertama apabila perutnya ditebuk dan kini menggunakan beg stoma bagi memudahkannya membuang najis.
Tambahnya, anaknya itu perlu menjalani pembedahan sekali lagibagi membetulkan saluran najis, namun buat masa sekarang dia dan suaminya Shakur Ismail, 36, yang bekerja sebagai tukang rumah, belum berkemampuan.
"Suami saya bekerja sebagai tukang rumah namun semasa PKP dilaksanakan, dia tidak boleh bekerja," jelasnya.
Latifah berkata bayaran pembedahan pertama yang menelan belanja lebih RM17,000 masih belum diselesaikan.
Katanya lagi suaminya kini tidak mempunyai sebarang pekerjaan berikutan kawasan rumahnya termasuk dalam lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan jangkitan virus COVID-19.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Alias Harun berkata pihaknya telah berbincang dengan pihak terlibat berhubung masalah dihadapi Nur Diana.
"Setakat ni bagi DUN, kita hubungi jabatan yang terlibat, JKM, Tabung Darul Iman, MAIDAM, jadi perkara ini sudah dalam pengetahuan mereka," katanya.
Menurut Alias, pihaknya kini akan bertindak untuk menghulurkan bantuan segera kepada keluarga terbabit bagi meringankan beban yang ditanggung dalam pengurusan harian bayi berkenaan.
#bayi #masalah usus #sistem pencernaan #Nur Nadia Husna Shakur #Pembedahan #beg stoma
;