Bayi 10 bulan retak tempurung, otak bengkak
Shuhada Abdul Kadir
Julai 19, 2018 18:45 MYT
Julai 19, 2018 18:45 MYT
Pihak hospital yang melakukan pemeriksaan terhadap bayi lelaki, Naufal Amsyar Nabil Fikri, telah mengklasifikasikan kecederaan yang dialami bayi berusia 10 bulan itu ketika dalam jagaan pengasuh, sebagai 'kecederaan bukan kemalangan' atau 'non-accidental injuries'.
Pengarah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Dr Muhammad Yusof Sibert berkata, pemeriksaan imbasan juga mendapati terdapat beberapa keretakan di bahagian kepala yang serius.
Pemeriksaan pakar juga mendapat otak bayi berkenaan membengkak, namun pemeriksaan lanjut sedang dijalankan.
Berdasarkan kecederaan, pihaknya mengesyaki ia bukan disebabkan kemalangan, tetapi telah menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
"Apabila kami lakukan pemeriksaan imbasan ke atas adik Naufal ini, kami mendapati terdapat retakan pada bahagian kepala. Otak bayi berkenaan juga didapat membengkak atau celebral edema," katanya.
Tambah Dr Muhammad Yusof, pihaknya juga telah merujuk dengan bahagian neurologi Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk rawatan susulan.
Namun bayi itu hanya akan dirujuk ke HSA selepas keadaan selain tekanan darahnya stabil.
Sementara itu ibu bapa bayi tersebut menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.
Selasa lalu, Naufal dilaporkan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari buaian di rumah pengasuh.
Naufal mengalami pendarahan mata, retak tempurung kepala serta lebam di dahi kiri.
"Saya terima panggilan daripada pengasuh ketika saya sedang bekerja dan dia beritahu Naufal kini berada di unit kecemasan di hospital.
"Pengasuh itu berkata anak saya tidak boleh bernafas dengan tiba-tiba ketika dia sedang beri makan. Dia kata dia cuba tepuk anak saya tetapi mata anak saya naik ke atas sahaja.
"Apabila saya sampai di hospital, Naufal sudah kritikal. Masa itu saya tanya pengasuh itu untuk beritahu kepada saya adakah anak saya pernah jatuh?
"Mula-mula dia diam sahaja dan selepas itu baru dia beritahu saya bahawa Naufal pernah jatuh dari buai sebanyak dua kali," kata ibu kepada bayi tersebut, Noraziqah Rohmat.
Sehingga kini, Naufal masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Dalam pada itu, bapa kepada bayi itu, Nabil Fikri Anwar berkata dia faham bukan senang untuk menjaga anak kecil namun dia kecewa kerana pengasuh itu tidak jujur.
"Saya tidak mahu menuduh sesiapa dan saya faham bukan senang menjaga anak orang tetapi saya mahu dia jujur.
"Saya cuma ingin tahu pada hari kejadian, apa sebenarnya berlaku kepada anak saya," katanya.
Susulan laporan yang dibuat pihak hospital, pihak polis menahan reman pengasuh wanita itu selama empat hari mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001.
#bayi
#bengkak
#Hospital Pakar Sultanah Fatimah
#Hospital Sultanah Aminah
#Muhammad Yusof Sibert
#Nabil Fikri Anwar
#Naufal Amsyar Nabil Fikri
#Noraziqah Rohmat
#otak
#pengasuh
#retak
#tempurung