Bayi 10 bulan maut terbakar ditinggalkan ibu dalam buaian elektrik

Shuhada Abdul Kadir
Februari 19, 2020 16:13 MYT
Mangsa dipercayai ditinggalkan berseorangan ketika sedang tidur di dalam buaian elektrik di dalam rumah sementara ibunya keluar ke Pekan Gemas kerana mempunyai urusan.
Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan maut dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Kampung Bangkahulu, Gemas, di sini hari ini.
Bayi yang maut dalam kejadian 11.30 pagi itu dikenali sebagai Siti Nur Aini Zulimi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Ahmad Pilus Zainal berkata, mangsa dipercayai ditinggalkan berseorangan ketika sedang tidur di dalam buaian elektrik di dalam rumah sementara ibunya keluar ke Pekan Gemas kerana mempunyai urusan.
“Siasatan awal terhadap ibu mangsa mendapati dia keluar ke pejabat pos di pekan Gemas sekitar 10.30 pagi dan sempat berpesan kepada jirannya untuk bantu lihat jika bayi perempuannya yang ditinggalkan di buaian elektrik menangis.
“Setelah itu ibu mangsa terima telefon dari jiran menyatakan rumahnya telah terbakar yang mana apabila dia sampai di rumah anaknya telah meninggal dunia akibat kebakaran itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Pilus berkata, ketika kejadian bapa mangsa yang merupakan seorang tentera tiada di rumah dan sedang bertugas di Kem Tentera Syed Sirajuddin, Gemas.
“Kes kebakaran sedang disiasat oleh pihak bomba dan pihak polis tidak pasti adakah ianya berunsur khianat atau bencana kerana masih dalam siasatan.
“Buat masa ini siasatan lanjut berhubung berkenaan sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” tambahnya.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.
BACA: Hanya jeritan Allahuakbar, bapa temukan bayi 9 bulan maut tertinggal dalam kereta
#bayi #Hospital #kebakaran #mangsa #mati #maut #meninggal dunia #polis #siasatan
;