Bayaran STR dipercepat beri kelegaan, bantu rancak ekonomi

Bernama
Jun 24, 2023 09:00 MYT
Inisiatif kerajaan mempercepat bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 yang akan disalurkan mulai 26 Jun ini memberi kelegaan kepada golongan B40 dalam meringankan beban kos sara hidup. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Inisiatif kerajaan mempercepat bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 yang akan disalurkan mulai 26 Jun ini memberi kelegaan kepada golongan B40 dalam meringankan beban kos sara hidup.
Penganalisis Ekonomi dari Universiti Malaya (UM), Roza Hazli Zakaria berkata, inisiatif itu juga akan merangsang aktiviti ekonomi dalam jangka masa pendek.
"Golongan B40 ini secara umumnya mempunyai kecenderungan menggunakan marginal yang tinggi, iaitu mereka cenderung untuk berbelanja apabila menerima pendapatan tambahan.
"Inisiatif ini juga sudah pasti akan membantu mereka khususnya untuk membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidiladha," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, usaha kerajaan itu dilihat mampu meringankan beban rakyat selain merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
"Kerajaan juga tahu dengan pemberian duit sumbangan ini maka rakyat akan berbelanja dan ini berpotensi merancakkan ekonomi negara ... walaupun ini bukanlah satu inisiatif yang baharu, ada keperluan yang dilihat cukup penting khususnya kepada golongan B40 yang menerima bantuan ini terutama bagi persiapan menjelang sambutan Aidiladha pada 29 Jun ini," katanya.
Khamis lepas, Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan mengumumkan bayaran STR membabitkan peruntukan lebih RM2 bilion itu akan memanfaatkan lebih lapan juta penerima yang akan menerima bayaran antara RM100 hingga RM1,300 berdasarkan kelayakan masing-masing.
Pada 13 Jun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, STR 3 akan dibayar lebih awal kepada penerima golongan B40 sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha berbanding perancangan awal pada Julai 2023.
Sementara itu, penghantar makanan p-hailing, Noor Arfan Affendi, 32, berkata, bantuan STR oleh kerajaan disifatkan sebagai satu rahmat kepadanya yang amat memerlukan bantuan ketika ini.
Hal ini kerana katanya, baru-baru ini, beliau terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga menjejaskan aktiviti penghantaran makanan.
"Alhamdulillah memang tidak sangka kerajaan umumkan pemberian bantuan STR ini dan kebetulan juga saya memerlukan wang tambahan. Beberapa hari saya tidak dapat bekerja, agak bimbang juga tetapi syukur semuanya dipermudah," katanya.
Suri rumah Rodina Mat Sidek, 41, berkata, STR yang akan disalurkan mulai Isnin ini merupakan berita gembira kerana bantuan itu sememangnya meringankan perbelanjaan bulanan mereka sekeluarga untuk mendapatkan barangan keperluan harian.
"Ditambah pula dengan adanya inisiatif menarik yang ditawarkan Kerajaan Perpaduan menerusi inisiatif Payung Rahmah, rakyat akan dapat melakukan penjimatan dengan lebih efektif," katanya. - BERNAMA
#Sumbangan Tunai Rahmah #Str #kos sara hidup #golongan B40
;