Bayaran pengeluaran khas KWSP diawalkan bermula esok

Astro Awani
April 17, 2022 20:55 MYT
Permohonan untuk pengeluaran khas KWSP ini telah dibuka bermula pada 1 April lalu setelah kerajaan bersetuju untuk membenarkan pencarum berusia bawah 55 tahun untuk mengeluarkan simpanan sehingga maksimum RM10,000. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bayaran pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dikreditkan lebih awal iaitu esok, berbanding jadual asal 20 April seperti diumumkan sebelum ini.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan mengkreditkan bayaran itu lebih awal dibuat kerana ramai yang meminta ia dipercepatkan.
"Saya mendengar suara anda. Oleh itu, setelah berbincang dengan KWSP, sukacita dimaklumkan pengeluaran khas KWSP akan dikreditkan secara berperingkat mulai 18 April 2022 dan bukannya 20 April 2022 seperti yang diumumkan sebelum ini.
"Bagi mereka yang telah memohon pada awal bulan April bolehlah mula check akaun masing-masing esok. Tapi kalau belum masuk lagi, jangan risau, insya-Allah akan masuk juga kerana bayaran dibuat secara berperingkat," katanya dalam satu perkongsian di Instagram pada Ahad malam.
[INFOGRAFIK] KWSP | Pengeluaran Khas
BACA: Pengeluaran khas KWSP: Mohon hari ini, dapat 20 April 2022
BACA: Pengeluaran khas KWSP: Kena ganti RM12,000 kalau keluarkan RM10,000?
Permohonan untuk pengeluaran khas KWSP ini telah dibuka bermula pada 1 April lalu setelah kerajaan bersetuju untuk membenarkan pencarum berusia bawah 55 tahun untuk mengeluarkan simpanan sehingga maksimum RM10,000.
KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan, pengeluaran khas ini merupakan yang terakhir akan dilakukan dan tidak ada lagi skim pengeluaran khas selepas ini.
#KWSP #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #pengeluaran khas #awal
;