Bayaran PDP bagi projek MRT 1 RM750 juta, bukan RM7 bilion - MMC Gamuda

Bernama
Disember 29, 2016 07:50 MYT
MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd (MMC Gamuda) menjelaskan yang bayarannya sebagai rakan PDP untuk projek MRT 1 dianggarkan RM750 juta. - Gambar fail
MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd (MMC Gamuda) pada Khamis menjelaskan yang bayarannya sebagai rakan kongsi penyediaan projek (PDP) untuk projek Transit Aliran Ringan 1 (MRT 1) dianggarkan RM750 juta.
Syarikat itu berkata jumlah yang dinyatakan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sebanyak RM7 bilion, adalah tidak benar.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, MMC Gamuda berkata, selain kos pembinaan RM21 bilion untuk MRT 1, terdapat kos berkaitan lain seperti bayaran untuk perundingan kejuruteraan, pengukur bahan, kerja-kerja integrasi sistem, siasatan tapak, kajian topografi, kontingensi serta PDP.
Menurut syarikat itu, bayaran PDP adalah enam peratus daripada bahagian bertingkat kerja-kerja pembinaan dengan syarat ia menyelesaikannya dalam masa ditetapkan dan mengikut bajet.
Untuk menjelaskan mengenai jumlah RM40 bilion bagi keseluruhan tiga Laluan MRT, syarikat itu berkata, ia adalah cadangan konsep yang dibangunkan pada 2010 berdasarkan harga pada 2009.
"Ia tidak termasuk kos untuk kereta api elektrik dan pengambilalihan tanah.
"Penjajaran akhir semasa untuk MRT 1 dan MRT 2 adalah lebih panjang dari segi jarak dan lebih banyak stesen, yang telah meningkatkan kos pembinaan Projek MRT tersebut," kata syarikat itu.
MMC Gamuda berkata konsep cadangan yang dikemukakan adalah supaya ketiga-tiga laluan itu dibina serentak berbanding sekarang yang mana pelaksanaan satu-satu laluan secara berperingkat yang mungkin menelan kos pembinaan lebih tinggi.
Jelas syarikat tersebut, biarpun Projek MRT itu pada asalnya dicadangkan (dalam konsep cadangan) sebagai projek turnkey namun kerajaan memutuskan untuk melantik PDP bagi melaksanakannya yang disusuli pelantikan MMC Gamuda.
Selaku PDP, ia bertanggungjawab mengurus pembinaan jajaran bertingkat projek dan kesemua kontrak berkaitan dianugerahkan berdasarkan tender secara terbuka dan kompetitif.
Bagi pakej (pembinaan) bawah tanah, tiada pembabitan PDP kerana pihak MRT Corporation menawarkan tender antarabangsa, namun pelantikan MMC Gamuda sebagai kontraktor terbabit adalah berdasarkan harga tender paling rendah serta teknikal terbaik.
"MRT Corporation menguruskan kerja-kerja (pembinaan) bawah tanah itu," katanya.
Menurut syarikat itu, kesemua proses yang dijalankan itu juga adalah tertakluk kepada dua pengauditan setiap tahun iaitu oleh Jabatan Audit Negara serta penilaian bebas firma perkhidmatan profesional global.
Bagi kos pembinaan setiap kilometer bagi rel bandar berkenaan pula berbeza mengikut projek dan bandar berdasarkan penyelidikan oleh akademik antarabangsa.
"Ia juga merupakan amalan yang diterima seluruh dunia untuk menggunakan kos pembinaan yang tidak termasuk reka bentuk dan penyeliaan kejuruteraan, pembelian tanah antara lainnya.
"Sebagai contoh, kos pembelian tanah di bandar-bandar seperti Hong Kong dan Singapura (yang lebih tinggi) boleh memesongkan perbandingan kos pembinaan," kata syarikat itu.
MMC Gamuda berkata sebab-sebab perbezaan tinggi dalam kos pembinaan adalah perbezaan dalam ciri-ciri projek, kos buruh dan tahap penekanan ke atas keselamatan, kesihatan dan alam sekitar.
Berdasarkan kepada analisis (pada 2014) kos pembinaannya bagi sistem MRT di
49 bandar raya di negara maju dan membangun menunjukkan 38 bandar raya mempunyai sistem MRT lebih mahal berbanding MRT 1.
Syarikat itu berkata dengan proses tender terbuka yang adil dan telus, kos pembinaan diputuskan secara kompetitif oleh pasaran.
Pada masa depan MMC Gamuda berkata ia akan terus menumpu untuk menyiapkan pembinaan MRT 1 (Fasa 2) dan MRT 2.
-- BERNAMA
#Jabatan Audit Negara #MMC Gamuda #MRT 1 #pdp
;