Bayaran 'one-off' RM500 petugas barisan hadapan KKM bermula 1 Mac
Astro Awani
Februari 11, 2021 17:53 MYT
Februari 11, 2021 17:53 MYT
KUALA LUMPUR: Petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh mula menuntut pemberian one-off sebanyak RM500 bermula Februari 2021 sebelum pembayaran mula diagihkan pada 1 Mac 2021.
Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Adham Baba berharap pemberian ini dapat menyuntik semangat petugas barisan hadapan KKM dalam meneruskan perjuangan memerangi wabak COVID-19.
“Kerajaan melalui Belanjawan 2021 telah mengumumkan pemberian one-off sebanyak RM500 bagi menghargai pengorbanan dan komitmen anggota barisan hadapan KKM dalam menangani dan membendung penularan wabak COVID-19.
“Pemberian ini merupakan tambahan kepada Elaun Khas COVID-19 sedia ada yang dibayar kepada petugas kesihatan yang diarah untuk melaksanakan skop tugas dalam rantaian pengurusan wabak COVID-19 di KKM,” jelas Dr Adham.
Menurut kenyataan itu, individu yang layak menerima bayaran tersebut termasuk anggota barisan hadapan yang terlibat secara langsung melaksanakan skop tugas dalam rantaian pengurusan wabak COVID-19 menurut Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM Bilangan 2 Tahun 2020 bertarikh 16 Mac 2020 dan Surat Edaran Ketua Setiausaha KKM pada 21 April 2020.
Sehubungan itu, Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM akan dikeluarkan bagi menjelaskan pelaksanaan pemberian tersebut.
Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memaklumkan bahawa seramai 100,000 petugas barisan hadapan KKM bakal menerima bayaran one-off berjumlah RM500 itu.
#Kementerian Kesihatan
#KKM
#Belanjawan 2021
#petugas kesihatan
#frontliner
#petugas barisan hadapan
#COVID-19
#Adham Baba
#bayaran one off