Bayaran levi pekerja asing oleh majikan berkuat kuasa 1 Januari 2018

Astro Awani
Disember 28, 2017 09:41 MYT
Sebanyak 5,687 majikan daripada pelbagai sektor telah menandatangani Aku Janji Majikan yang melibatkan penggajian seramai 160,131 orang pekerja asing baharu. - Gambar fail
Perintah bayaran levi bagi setiap pekerja asing yang digajikan di pelbagai sektor ekonomi akan dibiayai oleh majikan berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Januari 2018.
Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataannya hari ini menjelaskan perintah bayaran levi terbabit yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 Januari 2017 ditangguhkan ekoran permohonan rayuan daripada pelbagai kesatuan majikan agar diberi kelonggaran masa sebelum melaksanakan keputusan berkenaan.
Kerajaan telah menyediakan platform masa selama satu setengah tahun untuk membuat persediaan yang sewajarnya dalam memenuhi penetapan baharu itu sejak ia mula diumumkan pada 25 Mac 2016.
Majikan yang telah diberi perakuan untuk menggajikan pekerja asing adalah diwajibkan untuk menandatangani Aku Janji Majikan.
Aku Janji Majikan tersebut dengan jelas menetapkan tanggungjawab majikan untuk menanggung kos bayaran levi sepenuhnya bagi penggajian setiap pekerja asing mulai 1 Januari 2018.
Sejak 1 Februari 2017 sebanyak 5,687 majikan daripada pelbagai sektor telah menandatangani Aku Janji Majikan yang melibatkan penggajian seramai 160,131 orang pekerja asing baharu.
Sehingga 19 Disember 2017 sebanyak 522 majikan yang melibatkan 11,514 orang pekerja asing baharu telah mendapat perakuan untuk menggajikan pekerja asing tetapi masih belum menandatangani Aku Janji Majikan akan juga dikehendaki berbuat demikian.
Keputusan Kerajaan mewajibkan para majikan untuk menanggung kos bayaran levi yang berkuatkuasa 1 Januari 2018 tersebut turut terpakai ke atas semua majikan yang menggajikan pekerja asing sebelum 1 Februari 2017.
#Kementerian Sumber Manusia #levi #pekerja asing
;