Bayaran Insentif Wilayah ganti BISS, BISM untuk anggota tentera bermula 1 Julai - Anwar

Bernama
Mei 31, 2023 16:27 MYT
Anwar berkata kelulusan itu akan memanfaatkan seramai 33,586 anggota ATM dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM87.8 juta setahun berdasarkan perjawatan tahun lepas (2022). - Gambar fail
PUTATAN: Kerajaan bersetuju meluluskan pemanjangan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) bagi menggantikan Bayaran Insentif Sabah/Sarawak (BISS) dan Bayaran Insentif Semenanjung (BISM) kepada anggota perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa 1 Julai ini.
Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Program Mesra Bersama Warga ATM Markas 5 Briged, Kem Lok Kawi, Sabah di sini, hari ini.
Anwar berkata kelulusan itu akan memanfaatkan seramai 33,586 anggota ATM dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM87.8 juta setahun berdasarkan perjawatan tahun lepas (2022).
Sebelum ini, katanya pegawai dan anggota ATM yang bertukar wilayah menerima BISS dan BISM, namun kedua-dua insentif diberikan itu adalah lebih rendah berbanding kadar BIW yang diterima oleh pegawai perkhidmatan awam lain.
"Sedangkan, asas pembayaran ketiga-tiga insentif adalah sama iaitu untuk menampung kos sara hidup yang tinggi serta sebagai galakan pegawai dari Semenanjung untuk berkhidmat di Sabah atau Sarawak dan sebaliknya," katanya.
#Angkatan Tentera Malaysia #bayaran insentif wilayah #BISS #Anwar Ibrahim
;