Bayaran i-Sejahtera Fasa 3 mulai esok, Pulau Pinang salur RM4.5 juta tahun ini
Bernama
Oktober 7, 2024 18:21 MYT
Oktober 7, 2024 18:21 MYT
GEORGE TOWN: Sebanyak 4,319 penerima yang layak bagi Fasa 3/2024 program i-Sejahtera di Pulau Pinang akan menerima bayaran secara pemindahan dana elektronik (EFT) ke dalam akaun bank masing-masing mulai esok.
Pengerusi Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Lim Siew Khim berkata jumlah itu merangkumi 2,936 penerima Program Penghargaan Warga Emas, Program Bantuan Ibu Tunggal (177) (PBIT), Program Suri Emas (780) dan Program Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) (426) yang melibatkan perbelanjaan RM768,100.
"Pembayaran fasa 3/2024 hanya akan dibuat kepada pemohon baharu yang mendaftar sebelum 30 Jun setiap tahun. Permohonan yang dikemukakan selepas 30 Jun 2024 akan menerima bantuan program i-Sejahtera pada Fasa 1/2025," katanya dalam kenyataan hari ini.
Secara keseluruhan, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah menyumbangkan RM54.07 juta kepada 283,131 penerima menerusi enam program bantuan dari Januari sehingga Oktober tahun ini.
Beliau berkata peruntukan paling banyak adalah bagi Penghargaan Warga Emas melibatkan RM41.06 juta kepada 205,311 penerima, diikuti Bantuan Ibu Tunggal (10,753 penerima, RM1.1juta), Penghargaan Suri Emas (45,107 penerima, RM4.5 juta) dan 14,416 penerima Bantuan OKU (RM2.9 juta).
Selain itu, bagi program Anak Emas sebanyak RM751,200 telah disumbangkan yang melibatkan pemberian secara sekali beri kepada 3,756 penerima manakala Sumbangan Khairat Kematian melibatkan RM3.7 juta disalurkan kepada 3,788 orang.
Lim berkata penerima boleh menyemak status pembayaran yang diumumkan secara berperingkat mulai 14 Okt ini melalui laman web i-Sejahtera selain menghubungi Pusat Khidmat Kerajaan Perpaduan berdekatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Kerajaan negeri juga menyeru pemohon supaya mengemaskini maklumat akaun bank masing-masing bagi memastikan penerimaan bantuan Program i-Sejahtera berjalan lancar pada Fasa 1/2025.
-- BERNAMA