Bayaran BR1M 2.0 bermula Februari ini
Astro Awani
Januari 23, 2013 07:37 MYT
Januari 23, 2013 07:37 MYT
Sebanyak tujuh juta isi rumah dan individu bujang bakal memperoleh bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2.0) mulai 1 Februari ini.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata ia membabitkan peruntukkan RM3 bilion.
Pembayaran dibuat melalui pejabat daerah dan pejabat pegawai pembangunan zon di seluruh negara.
Husni berkata, BR1M yang diperkenalkan tahun lepas hanya melibatkan 4.1 juta isi keluarga.
Ia kemudian meningkat ekoran adanya pemohon baru melibatkan individu bujang kira-kira 1.7 juta selain isi keluarga.
Tambahnya bayaran pada bulan depan hanya dibuat kepada mereka yang mendaftar sehingga 31 disember 2012.
Bayaran akan berlangsung sehingga 28 Februari dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkannya pada 2 Februari ini.
“Bantuan harus diserahkan sehingga 28 Februari kecuali bagi pemohon-pemohon baru. Bagi pemohonan yang membuat permohonan sebelum 31 Disember, kami ada masa untuk memproses dan membuat bayaran pada Februari. Namum, kami masih lagi menerima permohonan kerana syarat perdana menteri adalah bagi mereka yang layak, mereka harus menerima bantuan ini,” kata Husni Hanadzlah.
BR1M diperkenalkan bagi tujuan meringankan beban rakyat.
Setiap isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang RM3,000 sebulan layak mendapat bantuan tunai RM500.
Ahmad Husni berkata demikian ketika merasmikan Menara Hasil Sungai Petani di bandar Amanjaya, Sungai Petani, Kedah.