Bayaran Bantuan Musim Tengkujuh serentak sebelum akhir Januari - Ismail
Wan Syamsul Amly
Januari 18, 2018 15:00 MYT
Januari 18, 2018 15:00 MYT
Seramai 158,575 pekebun kecil getah yang belum menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) akan menerima insentif itu secara serentak untuk tiga bulan sebelum akhir bulan ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, ia merupakan baki pekebun daripada lebih 500,000 pendaftaran pemohon BMT berkenaan.
Jelasnya, perbincangan juga sudah dibuat bersama Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong untuk memastikan kelancaran pembayaran.
"Kita akan bantu dia sebab pekebun kecil ini kebanyakannya di bawah Risda, Risda ada senarai dan Risda mempunyai pejabat di seluruh daerah.
"Jadi saya akan bantu Datuk Seri Mah dari segi pendaftaran, ini melalui Risda, Risda akan turun ke bawah bersama dengan ketua-ketua kampung untuk mendapatkan butiran nama-nama yang memang kita sudah ada.
"Kemudian kita akan daftarkan supaya kita serahkan nama berkenaan kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk kita keluarkan Kad LGM dan seterusnya boleh kita buat pembayaran," katanya semasa sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2018 di kementeriannya di sini hari ini.
Insentif tersebut akan dibayar oleh Lembaga Getah Malaysia melalui bantuan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
Permohonan BMT dibuka mulai 1 September tahun lalu sehingga 31 Januari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini menerusi laman Twitternya menyatakan bahawa terdapat 158,575 pekebun kecil dan penoreh getah yang belum memohon BMT sebanyak RM200 untuk tiga bulan masih layak membuat permohonan.
Semua pemegang kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) boleh memohon bantuan BMT dengan membuat permohonan melalui aplikasi atas talian atau menerusi laman sesawang LGM atau menerusi agensi pelaksana mereka bernaung.
Ini adalah bantuan yang diberikan kepada mereka yang kebiasaannya menghadapi masalah hasil getah apabila musim tengkujuh melanda.
Bantuan ini turut meliputi bukan sahaja penoreh atau pengusaha malah kepada pemilik kebun getah itu sendiri sama ada sudah mampu dituai hasil atau pokok getah mereka belum mencapai tahap matang yang mampu mengeluarkan hasil.
Dalam Bajet 2017, sejumlah RM261 juta diperuntukkan untuk membantu 440,000 pekebun kecil getah di seluruh negara bagi menghadapi musim tengkujuh yang menjejaskan hasil getah yang dialami oleh mereka.
Ia adalah bantuan tambahan yang sedia ada kepada mereka sebelum ini bagi meringankan bebanan pekebun kecil getah.
Sementara itu kata Ismail, peruntukan kementeriannya untuk tahun 2018 adalah sebanyak RM9.48 bilion di mana RM5.61 bilion adalah untuk belanja mengurus dan RM3.87 bagi peruntukan pembangunan.
Jelasnya lagi, semua projek kementerian itu juga perlu dimulakan selewat-lewatnya pada Februari selain projek jangka pendek perlu disiapkan dalam tempoh suku tahun pertama 2018.