Bayaran bantuan kepada pekebun kecil getah bukan pampasan - Alexander

Bernama
Julai 11, 2014 09:32 MYT
Wang bantun itu juga sebagai penghargaan atas usaha mereka menyumbang dan mengukuhkan ekonomi.
Pembayaran kerajaan kepada penoreh dan pekebun kecil getah tidak boleh dianggap sebagai pampasan sebaliknya bantuan khas, kata Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, wang bantuan RM500 yang diberikan kepada golongan penoteh dan pekebun kecil getah bertujuan membantu mereka menghadapi kemerosotan harga komoditi getah di pasaran semasa.
Katanya, kerajaan memperuntukkan lebih RM200 juta bagi pembayaran wang bantuan itu kepada penoreh dan pekebun kecil getah di seluruh negara.
Bercakap semasa sesi bertemu rakyat di Rh Jelian Laja di Nanga Matop dekat sini, malam tadi, beliau menyifatkan tindakan pemberian wang bantuan itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa bersimpati dengan nasib penduduk luar bandar.
Wang bantun itu juga katanya, juga sebagai penghargaan atas usaha mereka menyumbang dan mengukuhkan ekonomi.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak Datuk Joseph Salang yang juga anggota Parlimen Julau.
Alexander turut menasihatkan pekebun kecil dan penoreh getah di Sarawak agar mendaftar diri mereka dengan pejabat Kementerian Pembangunan Pertanian Negeri dengan secepat mungkin bagi membolehkan mereka layak menerima bantuan berkenaan.
"Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan melakukan penyerahan simbolik di negeri ini pada 14 Julai ini di Betong," katanya.
Alexander juga mengucapkan tahniah kepada lebih 100 keluarga yang bersetuju menyertai program penanaman getah di atas tapak seluas 380 hektar di kawasan itu.
Sementara itu, mengenai pembangunan rumah panjang dan Jawatankuasa Keselamatan, beliau berkata, ini bertujuan keberkesanan dan pengagihan geran kerajaan kepada golongan sasar.
"Sebelum ini, orang tengah cenderung untuk mendapat lebih manfaat apabila mereka diberi kepercayaan untuk melaksanakan sebarang projek pembangunan.
"Untuk menamatkan ketidakadilan ini, anggota parlimen Dayak mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa untuk membenarkan penduduk rumah panjang sendiri melaksanakanya," katanya.
#Alexander Nanta Linggi #bantuan khas #pampasan #pekebun kecil getah #penoreh
;