Bayar zakat lebih awal, elak kesulitan - PPZ-MAIWP

Rahimah Abdullah
Mei 29, 2017 13:47 MYT
Pembayaran zakat juga boleh dibuat melalui atas talian di portal PPZ-MAIWP atau kaunter zakat bergerak PPZ-MAIWP yang mempunyai fungsi sama seperti pembayaran di kaunter. - Gambar hiasan
Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengingatkan orang ramai agar membayar zakat lebih awal dan tidak berbuat demikian pada saat-saat akhir.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Rais Alias berkata, langkah itu bagi mengelak sebarang kesulitan kepada semua pembayar zakat.
"Harapan saya agar semua pembayar zakat akan dapat tampil membayar zakat seawal mungkin dengan slogan 'Jom Kita Berzakat'.
"Jangan lengah-lengahkan, sebab kita khuatir akhir Ramadan, dengan persiapan raya yang menjelang, mungkin kita akan alpa bayar zakat," katanya pada sidang media di Wisma PPZ-MAIWP di sini hari ini.
Tambahnya lagi, PPZ-MAIWP membuka 11 kaunter zakat yang dibuka setiap hari sepanjang bulan Ramadan termasuk cuti umum.
"Ia melibatkan lapan kaunter di Kuala Lumpur, dua kaunter di Putrajaya dan satu kaunter di Labuan," jelas beliau.
Pembayaran zakat juga boleh dibuat melalui atas talian di portal PPZ-MAIWP atau kaunter zakat bergerak PPZ-MAIWP yang mempunyai fungsi sama seperti pembayaran di kaunter.
Selain itu, kempen berzakat menerusi cimbclicks dan perkhidmatan pusat panggilan PPZ-MAIWP turut dilaksanakan untuk kemudahan orang ramai.
#Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan #Mohd Rais Alias #PPZ #Pusat Pungutan Zakat #Wilayah Persekutuan #zakat
;