Bayar tol guna kad debit, kredit di 12 lebuh raya bermula September - Alexander
Astro Awani
Jun 15, 2023 23:56 MYT
Jun 15, 2023 23:56 MYT
KUALA LUMPUR: Pengguna boleh membayar tol menggunakan kad debit, kredit bermula September berikutan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka akan dilaksana di 12 lebuh raya secara berperingkat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu akan memudahkan urusan pembayaran serta melancarkan perjalanan pengguna lebuh raya.
"Kesemua (12 lebuh raya) telah bersetuju untuk melaksanakan sistem ini untuk memberi kaedah yang lebih mudah kepada pengguna membuat pembayaran di plaza tol.
"Sistem pembayaran terbuka bermakna anda tidak lagi hanya tertakluk kepada satu atau dua e-dompet. Contohnya selama ini hanya menggunakan Touch 'n Go. Mengenai sistem pembayaran terbuka, bermakna ia akan menerima kad kredit, debit," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Pembukaan Fasa 2 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada Khamis.
Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka akan memberikan pilihan cara pembayaran tol kepada pengguna selain kaedah pembayaran secara Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), kad Touch n Go dan SmartTag.
Tambah beliau, ia juga diperkenalkan sebagai peralihan ke arah pelaksanaan Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang dijangka direalisasikan menjelang akhir 2024.
Lebuh raya yang terlibat adalah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Jambatan Pulau Pinang (JPP), Lebuhraya Butterworth - Kulim (BKE) dan Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP).
Selain itu, sistem itu turut dilaksanakan di Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Terowong SMART, Lebuhraya Kuala Lumpur - Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Duta - Ulu Klang (DUKE).