Bayar saman: Balai polis di Shah Alam, Klang sesak
Sinar Harian
Disember 12, 2021 13:26 MYT
Disember 12, 2021 13:26 MYT
SHAH ALAM: Kaunter pembayaran saman di Balai Polis Seksyen 9 dibuka sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) mendapat sambutan luar biasa sehingga sesak pada Ahad.
Orang ramai beratur panjang di luar pintu pagar balai berkenaan seawal jam 7 pagi untuk menjelaskan saman dengan tawaran diskaun sehingga 80 peratus sempena program tersebut.
Begitupun, agak mengecewakan apabila sistem pembayaran di kaunter di balai terbabit dilaporkan mengalami gangguan sistem dan belum pulih setakat jam 11.30 pagi.
Walaupun sesak namun keadaan terkawal apabila orang ramai beratur mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk mereka yang berada di luar balai berkenaan.
Jalaluddin Azhar Abdul Aziz, 53, dari Seksyen 25 berkata, dia sanggup berbaris walaupun datang bertongkat selepas mengetahui diskaun ditawarkan selama empat hari itu
Menurutnya, pemberian diskaun itu merupakan peluangnya untuk menjelaskan saman namun tidak menyangka ramai yang datang pada Ahad.
"Jadi hari ini merupakan hari terakhir untuk bayar saman sekiranya tempoh pembayaran saman dengan diskaun 80 peratus itu tidak dilanjutkan,” katanya yang dibantu anggota polis ke tempat menunggu lebih selesa.
Sementara itu, Hafiz Musa, 41, dari Seksyen 14 berkata, telah menunggu sejak awal pagi namun mengambil keputusan untuk pulang ke rumah selepas dimaklumkan mengenai gangguan sistem yang berlaku.
"Saya sudah berada di sini sejak jam 8 pagi, tidak mampu untuk berdiri terlalu lama dan jangka gangguan sistem ini akan mengambil masa lebih lama sebab itu saya ambil keputusan untuk pulang sahaja ke rumah," jelasnya.
Sementara itu, Hanapi Alip, 36, bernasib baik dapat menjelaskan saman secara dalam talian selepas usaha untuk menjelaskan saman secara bersemuka terpaksa menunggu lama.
“Saya terkejut melihat begitu ramai orang dan sesak di Balai Polis Klang seterusnya ke Balai Polis Seksyen 9 namun keadaan yang sama juga berlaku di sini.
"Jadi dalam tempoh menunggu saya mencuba nasib membayar secara dalam talian dan tak sangka dapat membayar empat saman yang tertunggak sekali gus," katanya.
Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan memaklumkan pembayaran saman boleh dibuat di semua Pejabat Negeri, Cawangan JPJ dan UTC JPJ di seluruh negara serta secara dalam talian melalui portal mySIKAP JPJ.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN: Bayar saman: Balai polis di Shah Alam, Klang sesak