Bayar parkir guna kad debit tidak selamat - Ahmad Maslan

Sinar Harian
Mac 27, 2023 18:17 MYT
Ahmad berkata, data-data berkenaan boleh diakses hanya menggunakan perisian hasad (malware). - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengakui data pengguna yang menggunakan kad debit untuk membuat pembayaran di tempat letak kereta tanpa tunai tidak selamat dan mudah untuk diakses oleh scammer.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, data-data berkenaan boleh diakses hanya menggunakan perisian hasad (malware).
“Saya setuju apa yang disebut itu, jadi kita kena terus berhati-hati dan angka yang saya nyatakan dalam Dewan Rakyat mengenai penipuan scam untuk negara hampir 22,000 orang telah menjadi mangsa dan kerugian sekitar RM850 juta.
“Itu adalah satu angka yang tinggi dan kita harap sentiasa berhati-hati terutama menggunakan kad-kad yang boleh diakses menggunakan perisian khas terhadap akaun,” katanya dalam sidang Dewan Negara pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang ingin mengetahui sama ada data pengguna kad debit selamat dan terpelihara sekiranya membuat pembayaran di tempat letak kereta tanpa tunai.
Ketika ini pembayaran tempat letak kereta tanpa tunai di beberapa lokasi memerlukan pelanggan membayar pendahuluan menggunakan kad debit sebelum menolak jumlah sebenar kadar bayaran mengikut tempoh perkhidmatan. - Sinar Harian
#bayar parkir #kad debit #tak selamat #Ahmad Maslan
;