Bayar bil elektrik melalui saluran rasmi - TNB

Bernama
September 6, 2024 23:14 MYT
TNB memaklumkan tiada diskaun ditawarkan dan syarikat itu tidak melantik mana-mana ejen swasta untuk menguruskan pembayaran bil bagi pihaknya melalui panggilan telefon, WhatsApp, atau mana-mana platform media sosial. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna untuk tidak mudah terpedaya dan mengelak daripada menerima tawaran individu atau pihak ketiga, yang mungkin mendekati mereka secara terus bagi sebarang tujuan pembayaran bil atau diskaun bil elektrik.
TNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiada diskaun seperti itu ditawarkan dan syarikat itu tidak melantik mana-mana ejen swasta untuk menguruskan pembayaran bil bagi pihaknya melalui panggilan telefon, WhatsApp, atau mana-mana platform media sosial.
"TNB merujuk kepada laporan pengguna yang tertipu dengan tawaran diskaun bil sehingga 35 peratus ke atas bil elektrik mereka. Namun TNB tidak pernah menawarkan diskaun atas jumlah bil elektrik.
"Sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk mengutamakan pelanggan, TNB menawarkan pilihan pembayaran yang selamat dan mudah untuk pelanggan," menurut kenyataan itu.
Kenyataan TNB itu memaklumkan pelanggan amat digalakkan membayar bil elektrik mereka menerusi saluran rasmi, termasuk aplikasi mudah alih myTNB, pilihan alternatif seperti perbankan dalam talian, JomPAY, e-dompet, debit terus bulanan atau autopay, lokasi pembayaran fizikal termasuk kiosk dan kaunter Kedai Tenaga, serta sebagai ejen kutipan TNB yang diberi kuasa seperti 7-Eleven, Pos Malaysia dan portal dalam talian myTNB di (http://www.mytnb.com.my).
"Mereka yang mempunyai bil elektrik tertunggak, semua pembayaran hendaklah dibuat melalui saluran rasmi TNB yang disenaraikan," menurut kenyataan itu.
Untuk bantuan lanjut atau pertanyaan mengenai akaun TNB, hubungi TNB CareLine di 1-300-88-5454, atau hubungi melalui Facebook TNB Careline atau X di @Tenaga_Nasional. Untuk maklumat lanjut tentang kaedah pembayaran TNB, sila lawati https://www.mytnb.com.my/payment-facilities/mytnb-online-and-phone-banking.
-- BERNAMA
#Facebook #media sosial #TNB #WhatsApp
;